Wednesday 27 November 2013

Terbuka Pintu Hati Untuk Al-Quran

Ayahlah orang pertama cuba mengajar al-Quran kepada saya.
Setiap malam, kami – saya dan kakak – akan menghadap Ayah bersama dengan muqqadam. Belajar al-Quran bukanlah minat saya. Saya terasa sangat sukar. Malah setiap kali tiba saat belajar, perasaanmalas, tidak seronok, rasa terpaksa dan tertekan menyelubungi diri.
Ia satu saat yang paling membosankan!
Akibatnya, saya sering tergagap-gagap apabila berhadapan dengan ayah. Setiap kali saya gagal membaca dengan lancar, ayah membuat sergahan. Sergahan yang boleh didengari seisi rumah. Nada suara yang boleh meruntuhkan semangat waja seorang kanak-kanan berusia 6-7 tahun.
Ayah sememangnya seorang guru yang terkenal dengan sifat garangnya. Di sekolah, anak-anak muridnya sudah tahu, “Emmmm…. Cikgu Ibrahim, garang sangat”. Ia menjadi semakin garang apabila mengajar anak sendiri. Saya sentiasa kecut perut, takut dan berdebar-debar apabila tiba saat-saat senja melabuhkan tirainya.
Akhirnya setiap kali disergah, airmata mengalir laju. Ia bukan hanya membasahi pipi tetapi manik-manik halus menitis jatuh menimpa helaian muqqadam. Pandangan saya kabur. Huruf-huruf hampir tidak kelihatan. Berbalam-balam. Sambil teresak-esak, saya menyapu kelopak mata. Tersedu-sedu dalam kesedihan, ketakutan dan rasa kecil hati.
“Pergi masuk… marah sedikit menangis, marah sedikit menangis. Bila nak pandai!”
Saya terus meluncur ke bilik. Menyembamkan diri ke bantal. Nun jauh di hati saya terasa sangat lega daripada terus berada dalam keadaan ketakutan dan perasaan yang sentiasa berdebar-debar. Ummpp…. saya berterima kasih dengan air mata yang mengalir. Air mata itulah yang menyelesaikan masalah.
Besoknya apabila disergah, ulangan kisah semalam berlaku. Ayah sergah, saya menangis, air mata tumpah keatas helaian muqqadam dan saya diminta masuk ke bilik. Hari-hari seterusnya saya mendapat akal. Ketika saat-saat berhadapan dengan ayah, saya mula seronok menunggu ayah memarahi dan menyergah saya. Air mata seolah-seolah bersahabat baik. Ia sangat hampir dengan kelopak mata. Dengan satu sergahan sahaja, ia keluar meleleh-leleh.
Akhirnya, dalam diam-diam tanpa saya sedari ayah sudah tidak menjadi guru Quran saya lagi. Maksudnya proses pembelajaran Quran terbantut dan terhenti ketika usia tujuh tahun tanpa dapat menghabiskan bacaan. Saya cuma tahu dan hafal beberapa surah sahaja – cukup-cukup – untuk dibaca semasa menunaikan solatlima waktu. Itu pun belum tentu benar atau salah bacaannya. Selebihnya saya adalah manusia yang “buta Quran”.
Hampir 38 tahun yang lampau saya berasa seronok kerana mengeluarkan airmata ketika belajar Quran dan lebih “lega” apabila diminta untuk memberhentikan bacaan apabila air mata tersebut mengaburi pandangan. Ia langsung tidak memberi kesan kepada perjalanan kehidupan. Saya kekal begitu sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Kota Bharu.
Buta al-Quran dan berada di MRSM nyata tidak membebankan. Saya tidak kisah dan bersedih hati walaupun tidak tahu membaca Yaasin. Jika ada majlis doa selamat dan membaca Yaasin, saya akan cuba mengelak. Mencari jalan supaya tidak perlu menghadiri program tersebut. Malah jika terpaksa hadir sekali pun, saya tidak rasa malu atau terbeban dengan program seumpama itu.
Saya hanya menggerak-gerak mulut mengikut mereka yang lain.
Namun bila meningkat dewasa, berjawatan tinggi dan mula mengerti kehidupan selepas kematian, saya benar-benar dalam ketakutan. Jauh di sudut hati saya rasa serba kekurangan. Gelisah jiwa melihat orang berlagu membaca al-Quran. Rasa terhina bila menghadiri majlis-majlis kesyukuran, doa selamat, kematian dan keramaian yang bercorak keagamaan. Berdebar-debar setiap kali orang menghulurkan surah Yaasin. Apatah lagi kalau ada insan yang menunjukkan tangan, memberi isyarat mahu saya ke hadapan mengetuai solat.
Saya iri hati melihat orang membaca al-Mathuraat ketika waktu terluang. Saya mengangguk-angguk bila Abah mengajar beberapa ayat ringkas untuk dijadikan amalan. Namun ia berlalu dan hilang begitu sahaja. Menghafal ayat-ayat al-Quran ternyata sukar. Lidah kelu, ingatan lemah dan motivasi diri tidak segagah mana. Saya lebih tekun menulis daripada menghafal wirid-wirid selepas sembahyang. Terasa ia benar-benar sukar!
Malah dengan anak sendiri pun saya cemburu melihat mereka sudah khatam al-Quran. Membaca ayat-ayat Allah – yang kelihatan asing – selancar saya membaca novel, buku perakaunan atau surat khabar. Ketika saya kagum dengan mereka, sesekali menyusuk perasaan hiba dan sayu di atas kekurangan diri.
Saya tidak upaya untuk meningkatkan kelemahan diri. Perasaan malu, tidak berkeyakinan dan selesa dengan keadaan semasa menyukarkan keadaan. Lebuhraya perubahan nyata tidak terbina. Lalu saya membuat keputusan, biarlah saya menanti saat-saat kematian dengan kekurangan tersebut. Tiada apa yang boleh saya lakukan!
Namun saya cuba membina keyakinan diri supaya tidak tertekan dengan apa yang kurang meskipun ia kelihatan sukar. Benar, saya tidak pandai dan buta al-Quran dan sukar membuat amalan khusus tetapi saya fikir saya bukanlah manusia jahat, suka berhasad dengki dengan orang atau berburuk sangka dengan mereka yang hampir. Pada ketika itu saya berharap dan berdoa, mudah-mudahan Allah memberi pengampunannya kepada saya di atas kekurangan dan kelemahan diri.
Tidak pernah terlintas yang saya akan belajar Quran ketika usia menghampiri 41 tahun. Ketika saya sudah tewas dan bersedia untuk menerima kematian dalam keadaan buta Quran, saya dijemput menunaikan fardhu haji. Saya menangis dan merayu mengadu kepada Allah di atas segala kekurangan diri.
Rayuan dan pengaduan yang mencerminkan ketakutan, kefakiran dan kehinaan diri terhadap Allah yang Maha Perkasa. Benar, begitulah sifat Maha Pengasih dan sifat Maha Penyayang Allah terhadap hamba-Nya nyata cukup luas. Saya terbuka pintu hati untuk mula belajar al-Quran ketika membuat keputusan hendak menunaikan fardhu haji.
copy dari iluvislam.com

Saturday 2 February 2013

Aku Remaja Biasa

Setiap manusia pasti melakukan dosa apatah lagi remaja yang baru mengenal kehidupan. Aku juga remaja dan aku juga tidak terlepas dari melakukan dosa, pasti banyak dosa-dosa yang aku tidak sedari. Aku juga masih mentah untuk menghadapi dunia sebenar yang penuh dengan fatamorgana dan godaan syaitan yang meragut jiwa.
Setiap doa di dalam solat, seringkali aku berdoa agar diriku ini dijauhkan dari kemungkaran yang merosak akhlak dan jiwa. Aku sedar yang aku bukanlah remaja yang hebat, pandai, dan mendapat A dalam semua subjek. Aku hanyalah remaja biasa yang hanya belajar di sekolah biasa dan bergaul dengan rakan-rakan biasa.
Tetapi, aku berharap yang aku diberi laluan untuk menghadapi kehidupan yang lebih baik dengan bersekolah di sekolah agama dan berkawan dengan rakan-rakan yang luar biasa. Bukan aku tidak bersyukur dengan kehidupan yang Allah SWT berikan. Fitrah seorang manusia menginginkan kehidupan yang lebih baik.
Rakan-rakanku bukanlah berpendidikan tinggi atau mempunyai keluarga yang sempurna. Aku juga sama. Aku menulis artikel ini bukan untuk menunjuk atau meluahkan perasaan. Tetapi, Aku ingin menumpukan bahawa singnifikannya harapan dalam diri manusia dan diri aku. Di dalam hati, acapkali aku bertanya "Adakah diriku ini disayangi Allah?". Setiap kali hatiku menanyakan soalan itu, air mataku deras menitis. Aku mengaku yang diriku ini selalu kalah dengan godaan syaitan yang durjana. 

Di dalam solatku tidak putus-putus aku berdoa agar aku diberi petunjuk di jalan yang benar. Kadangkala, apabila aku ingin menjadi lebih baik, pasti akan dihujani dengan dugaan yang menjerihkan jiwa. 
"Ya Allah, Aku amat menyayangimu. Aku memohon kepada mu Ya Allah, Kau tunjukkanlah jalan yang lurus kepadaku."
Allah berfirman:
"(Mereka berdoa dengan berkata): 'Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya"
(Surah ali-Imran ayat 8)
FirmanNya lagi:
"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): 'Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya'. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali'"
(Surah al-Baqarah ayat 285)
Allah berfirman lagi;
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): 'Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir'"
(Surah al-Baqarah ayat 286)
Allahuakbar, Allah Maha Besar. Sungguh ayat-ayatNya memberikan aku semangat. Kini, aku yakini walau pun tidak berpeluang untuk belajar di sekolah yang ku inginkan, namun aku percaya ilmu Allah itu Maha Luas. Di bumi Allah itu semuanya penuh dengan didikan hatta ujian itu juga adalah didikan jiwa yang boleh mendekatkan diri pada Allah. 
Aku percaya, bukan kerana dari mana kita bergraduasi.. Bukan bidang agama yang menentukan kita orang yang beragama tetapi sejauh mana kita mengamalkan apa jua yang kita pelajari. Samaada ilmu dunia atau ukhrawi, selagi mana ianya dihadam untuk tujuan akhirat, maka ianya akan memberi kebaikan kepada orang tersebut. 
Moga kita semua mendapat iktibar. Insyaallah. 
"Maka bersabarlah engkau (Muhammad) ata apa yang mereka katakan. Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbena, dan bertasbihlah (pula) pada waktu tengah malam dan di ujung siang hari, agar engkau merasa tenang"
(Surah Taha ayat 130)

Friday 18 January 2013

Kerana enti adalah seorang muslimah

Kerana enti adalah seorang muslimah


Bukan niat di hati untuk angkuh
Bukan niat untuk menyakitkan hati enti
Bukan niat untuk tidak mempedulikan enti
Tetapi....
Kerana ana sangat menghormati enti
Ana melakukan semua ini
Kerana enti adalah seorang muslimah

Maafkan ana kerana memerhatikan enti dalam diam
Namun ana kecewa dengan enti
Ana menginginkan seorang muslimah yang mampu menjaga ikhtilatnya
Mampu menjaga batas pergaulan sesama bukan mahramnya
Bukan sahaja di dunia realiti
Malah juga di alam maya!
Namun, enti?
Adakah enti melambangkan ciri-ciri muslimah?

Berhubungan dengan bukan mahram
dengan perkara yang sia-sia di alam maya
tanpa alasan yang kukuh?
tanpa tujuan yang munasabah?
Adakah itu ciri-ciri muslimah?
Pastikah setiap perbualanmu di alam maya bersama bukan mahram
tidak menimbulkan penyakit hati dalam golongan syabab?

........Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).



Ana tidak mampu untuk menegur enti secara terus terang
Kerana ana tidak mempunyai hak ke atas enti
Hanya seorang lelaki bernama suami yang berhak ke atas enti
Ana ingin melihat enti berubah sendiri
Atas kesedaran sendiri
Iya, memang tiada manusia yang sempurna
Tetapi tidak salah untuk berusaha menjadi sempurna

Jagalah ikhtilatmu di alam maya
Bukannya tidak boleh menegur bukan mahram
Tetapi pastikan ada tujuan
Tujuan yang dibenarkan
Bukan hanya perbualan kosong semata-mata

Hanya doa yang mampu ana kirimkan
Semoga enti sentiasa berada dalam rahmat Allah
Ana sangat menghormati enti
Kerana enti adalah seorang muslimah

Nasihat Daripada Anak Kecil

Nasihat Daripada Anak Kecil


                                                                                                                                                Gambar: FB Lukisan Dakwah islam

Erti kasih sayang

Kereta diparkir di sebelah kedai runcit. Abi ingin membeli barangan dapur, seperti yang dipesan ummi. Fatimah iaitu anak pertama abi juga ikut serta. Ingin bantu mengangkat barang, katanya. Abi gembira. Dari sudut positif, beliau sudah mempunyai keinginan untuk membantu orang tua, sungguhpun baru berusia 5 tahun.

Banyak juga barang yang dibeli. Untung abi dibantu Fatimah. Namun, abi hanya membenarkan Fatimah mengangkat barang yang ringan, kerana beliau masih kecil. Abi membelikan lollipop kepadanya, sebagai tanda penghargaan. Jarang abi membelikan gula-gula kepada anak-anak abi, samada Fatimah mahupun Amin. Hanya sekali-sekala.

Sebagai ibu bapa, biasakan diri untuk mendidik anak supaya membantu ibu bapa, sungguhpun mereka masih kecil. Dalam masa yang sama, hargai usaha mereka. Maka mereka akan rasa disayangi. Didik anak-anak dengan kasih sayang, bukan dengan paksaan.

Sejurus selepas keluar dari kedai, Fatimah berhenti. Mata tertumpu pada anak kucing yang berada dihadapannya. Comel. Putih coklat warnanya. Namun, kasihan melihat keadaannya. Kurus. Seakan-akan sudah lama tidak makan. 

“Abi, hmm… Fatimah nak duit boleh tak?” Beliau bersuara.

Abi hairan. Mengerutkan dahi. Fatimah tidak pernah meminta duit sebelum ini. “Hmm, Fatimah nak buat apa?”

“Fatimah nak beli sesuatu. Dalam RM 5 sahaja.” Fatimah seakan-akan merayu.

“Ok, abi percayakan Fatimah. Ambil duit ini,” kata abi, sambil memberikan senyuman.

“Terima kasih abi. Sayang abi.” Fatimah bergegas ke dalam kedai runcit semula. Beberapa minit kemudian, beliau keluar.

Abi terharu. Fatimah membeli makanan kucing. Setelah membuka penutup bekas makanan kucing itu, Fatimah segera memberikan kepada anak kucing tadi. Anak kucing tadi seakan-akan gembira, sambil mengiau dan menggerakkan-gerakkan ekornya. Tanda ucapan terima kasih daripada seekor kucing, barangkali. Fatimah mengusap-usap badan anak kucing itu. Manja. Penuh dengan sentuhan kasih sayang.

“Kasihan anak kucing ini. Dia juga makhluk Allah. Kalau nak Allah sayang, kita pun kena sayang makhluk Allah, macam anak kucing ini. Kan abi juga yang ajar Fatimah. Ok abi, jom. Nanti bila Fatimah sudah besar dan bekerja, fatimah ganti semula duit abi.” Hujah Fatimah. Petah bicaranya.

Abi seakan-akan mahu menitiskan air mata. Bukannya sedih kerana kehilangan RM5. Tetapi terharu dengan perbuatan Fatimah. Subhanallah. Sungguhpun masih kecil, beliau mempunyai sifat kasih sayang terhadap makhluk Allah yang lain. Abi memeluk Fatimah. Pelukan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Abi bersyukur dikurniakan anak yang pintar. Abi tidak merasa malu sungguhpun dinasihati oleh anak abi sendiri. Sungguhpun dia masih kecil. Banyak abi belajar daripadanya.

Kurangkan ego dalam diri

Ego. Sifat yang sukar dihapuskan dalam diri seseorang yang bergelar manusia. Merasakan “hanya akulah yang terbaik” atau “hanya pendapat aku yang betul”. Membuatkan kita sukar menerima kebaikan orang lain. Sukar menerima pendapat orang lain.

Tatkala dinasihati, kita memekakkan telinga. Tidak mengendahkan kebaikan tersebut. Lebih malang lagi apabila ada yang mengherdik, ketika diberikan nasihat.

Tambahan pula, kebaikan dan pendapat tersebut daripada seorang anak kecil. Sudah pasti kita akan merasakan harga diri kita diinjak! Maruah kita jatuh kerana dinasihati anak kecil! Sungguhpun perkara tersebut mendatangkan kemaslahatan pada diri kita, kita menolak hanya kerana dia masih kecil dan tidak layak menasihati.

Betulkah tindakan kita?

Cuba fikir sejenak. Kita dilahirkan di dunia lebih awal berbanding anak kecil. Jadi, bukankah kita lebih berpeluang melakukan dosa lebih banyak daripada anak kecil itu? Maka siapakah yang lebih baik, adakah kita atau anak kecil tersebut?

Boleh jadi, kita lebih banyak dosa. Maka, mengapa perlu ego? Adakah layak untuk kita merasakan diri kita lebih hebat daripada anak kecil tersebut?

Jika kita berfikiran sebegitu, nescaya kita akan mudah untuk menerima nasihat orang yang lebih muda daripada kita.

Terima segala yang baik

Dalam suatu kisah, Imam Abu Hanifah menegur seorang budak yang memakai terompah kerana dikhuatiri terpelecok. Setelah itu, budak tersebut berkata; “Engkau Imam Abu Hanifah, kan? Sesungguhnya jika aku terpelecok sekalipun, aku hanya terpelecok di dunia. Tetapi engkau sebagai orang yang berjawatan imam, sekiranya terpelecok disebabkan jawatan engkau, bukan sahaja terpelecok di dunia, tetapi juga di akhirat”. Kemudian, Imam menangis.

Subhanallah! Kisah ini memberi pengajaran yang sangat bermakna. Seorang budak menasihati seorang ulama yang hebat. Tetapi, sekiranya perkara ini berlaku pada diri kita, adakah kita mampu menerima nasihat tersebut? Jika berlaku pada diri kita, kemungkinan besar kita akan berkata “Kurang ajar punya budak. Berani pula dia nasihat aku”.

Muhasabah diri. Kadangkala abi juga pernah merasakan ego abi tercabar, jika dinasihati orang yang lebih muda daripada abi. Tambahan pula abi ini seorang ustaz. Tetapi, sekiranya perkara tersebut mendatangkan kebaikan, mengapa kita perlu merasakan sedemikian?

Ego, keluar kau dari hati ini!