Friday 18 January 2013

Kerana enti adalah seorang muslimah

Kerana enti adalah seorang muslimah


Bukan niat di hati untuk angkuh
Bukan niat untuk menyakitkan hati enti
Bukan niat untuk tidak mempedulikan enti
Tetapi....
Kerana ana sangat menghormati enti
Ana melakukan semua ini
Kerana enti adalah seorang muslimah

Maafkan ana kerana memerhatikan enti dalam diam
Namun ana kecewa dengan enti
Ana menginginkan seorang muslimah yang mampu menjaga ikhtilatnya
Mampu menjaga batas pergaulan sesama bukan mahramnya
Bukan sahaja di dunia realiti
Malah juga di alam maya!
Namun, enti?
Adakah enti melambangkan ciri-ciri muslimah?

Berhubungan dengan bukan mahram
dengan perkara yang sia-sia di alam maya
tanpa alasan yang kukuh?
tanpa tujuan yang munasabah?
Adakah itu ciri-ciri muslimah?
Pastikah setiap perbualanmu di alam maya bersama bukan mahram
tidak menimbulkan penyakit hati dalam golongan syabab?

........Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).



Ana tidak mampu untuk menegur enti secara terus terang
Kerana ana tidak mempunyai hak ke atas enti
Hanya seorang lelaki bernama suami yang berhak ke atas enti
Ana ingin melihat enti berubah sendiri
Atas kesedaran sendiri
Iya, memang tiada manusia yang sempurna
Tetapi tidak salah untuk berusaha menjadi sempurna

Jagalah ikhtilatmu di alam maya
Bukannya tidak boleh menegur bukan mahram
Tetapi pastikan ada tujuan
Tujuan yang dibenarkan
Bukan hanya perbualan kosong semata-mata

Hanya doa yang mampu ana kirimkan
Semoga enti sentiasa berada dalam rahmat Allah
Ana sangat menghormati enti
Kerana enti adalah seorang muslimah

Nasihat Daripada Anak Kecil

Nasihat Daripada Anak Kecil


                                                                                                                                                Gambar: FB Lukisan Dakwah islam

Erti kasih sayang

Kereta diparkir di sebelah kedai runcit. Abi ingin membeli barangan dapur, seperti yang dipesan ummi. Fatimah iaitu anak pertama abi juga ikut serta. Ingin bantu mengangkat barang, katanya. Abi gembira. Dari sudut positif, beliau sudah mempunyai keinginan untuk membantu orang tua, sungguhpun baru berusia 5 tahun.

Banyak juga barang yang dibeli. Untung abi dibantu Fatimah. Namun, abi hanya membenarkan Fatimah mengangkat barang yang ringan, kerana beliau masih kecil. Abi membelikan lollipop kepadanya, sebagai tanda penghargaan. Jarang abi membelikan gula-gula kepada anak-anak abi, samada Fatimah mahupun Amin. Hanya sekali-sekala.

Sebagai ibu bapa, biasakan diri untuk mendidik anak supaya membantu ibu bapa, sungguhpun mereka masih kecil. Dalam masa yang sama, hargai usaha mereka. Maka mereka akan rasa disayangi. Didik anak-anak dengan kasih sayang, bukan dengan paksaan.

Sejurus selepas keluar dari kedai, Fatimah berhenti. Mata tertumpu pada anak kucing yang berada dihadapannya. Comel. Putih coklat warnanya. Namun, kasihan melihat keadaannya. Kurus. Seakan-akan sudah lama tidak makan. 

“Abi, hmm… Fatimah nak duit boleh tak?” Beliau bersuara.

Abi hairan. Mengerutkan dahi. Fatimah tidak pernah meminta duit sebelum ini. “Hmm, Fatimah nak buat apa?”

“Fatimah nak beli sesuatu. Dalam RM 5 sahaja.” Fatimah seakan-akan merayu.

“Ok, abi percayakan Fatimah. Ambil duit ini,” kata abi, sambil memberikan senyuman.

“Terima kasih abi. Sayang abi.” Fatimah bergegas ke dalam kedai runcit semula. Beberapa minit kemudian, beliau keluar.

Abi terharu. Fatimah membeli makanan kucing. Setelah membuka penutup bekas makanan kucing itu, Fatimah segera memberikan kepada anak kucing tadi. Anak kucing tadi seakan-akan gembira, sambil mengiau dan menggerakkan-gerakkan ekornya. Tanda ucapan terima kasih daripada seekor kucing, barangkali. Fatimah mengusap-usap badan anak kucing itu. Manja. Penuh dengan sentuhan kasih sayang.

“Kasihan anak kucing ini. Dia juga makhluk Allah. Kalau nak Allah sayang, kita pun kena sayang makhluk Allah, macam anak kucing ini. Kan abi juga yang ajar Fatimah. Ok abi, jom. Nanti bila Fatimah sudah besar dan bekerja, fatimah ganti semula duit abi.” Hujah Fatimah. Petah bicaranya.

Abi seakan-akan mahu menitiskan air mata. Bukannya sedih kerana kehilangan RM5. Tetapi terharu dengan perbuatan Fatimah. Subhanallah. Sungguhpun masih kecil, beliau mempunyai sifat kasih sayang terhadap makhluk Allah yang lain. Abi memeluk Fatimah. Pelukan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Abi bersyukur dikurniakan anak yang pintar. Abi tidak merasa malu sungguhpun dinasihati oleh anak abi sendiri. Sungguhpun dia masih kecil. Banyak abi belajar daripadanya.

Kurangkan ego dalam diri

Ego. Sifat yang sukar dihapuskan dalam diri seseorang yang bergelar manusia. Merasakan “hanya akulah yang terbaik” atau “hanya pendapat aku yang betul”. Membuatkan kita sukar menerima kebaikan orang lain. Sukar menerima pendapat orang lain.

Tatkala dinasihati, kita memekakkan telinga. Tidak mengendahkan kebaikan tersebut. Lebih malang lagi apabila ada yang mengherdik, ketika diberikan nasihat.

Tambahan pula, kebaikan dan pendapat tersebut daripada seorang anak kecil. Sudah pasti kita akan merasakan harga diri kita diinjak! Maruah kita jatuh kerana dinasihati anak kecil! Sungguhpun perkara tersebut mendatangkan kemaslahatan pada diri kita, kita menolak hanya kerana dia masih kecil dan tidak layak menasihati.

Betulkah tindakan kita?

Cuba fikir sejenak. Kita dilahirkan di dunia lebih awal berbanding anak kecil. Jadi, bukankah kita lebih berpeluang melakukan dosa lebih banyak daripada anak kecil itu? Maka siapakah yang lebih baik, adakah kita atau anak kecil tersebut?

Boleh jadi, kita lebih banyak dosa. Maka, mengapa perlu ego? Adakah layak untuk kita merasakan diri kita lebih hebat daripada anak kecil tersebut?

Jika kita berfikiran sebegitu, nescaya kita akan mudah untuk menerima nasihat orang yang lebih muda daripada kita.

Terima segala yang baik

Dalam suatu kisah, Imam Abu Hanifah menegur seorang budak yang memakai terompah kerana dikhuatiri terpelecok. Setelah itu, budak tersebut berkata; “Engkau Imam Abu Hanifah, kan? Sesungguhnya jika aku terpelecok sekalipun, aku hanya terpelecok di dunia. Tetapi engkau sebagai orang yang berjawatan imam, sekiranya terpelecok disebabkan jawatan engkau, bukan sahaja terpelecok di dunia, tetapi juga di akhirat”. Kemudian, Imam menangis.

Subhanallah! Kisah ini memberi pengajaran yang sangat bermakna. Seorang budak menasihati seorang ulama yang hebat. Tetapi, sekiranya perkara ini berlaku pada diri kita, adakah kita mampu menerima nasihat tersebut? Jika berlaku pada diri kita, kemungkinan besar kita akan berkata “Kurang ajar punya budak. Berani pula dia nasihat aku”.

Muhasabah diri. Kadangkala abi juga pernah merasakan ego abi tercabar, jika dinasihati orang yang lebih muda daripada abi. Tambahan pula abi ini seorang ustaz. Tetapi, sekiranya perkara tersebut mendatangkan kebaikan, mengapa kita perlu merasakan sedemikian?

Ego, keluar kau dari hati ini!